PENJELASAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
BERKAITAN PENANGGUHAN UJIAN MATA PELAJARAN
SCIENCE & BAHASA INGGERIS
UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR) TAHUN 2014
1. Pada tarikh 10.9.2014 pihak Lembaga Peperiksaan (LP) telah membuat kenyataan
media berkaitan Peperiksaan Science 018 (SK), 028 (SJKC), 038 (SJKT)
bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang dijadualkan pada
11 September 2014 telah didapati bocor.
2. Ekoran kebocoran
tersebut, pihak LP telah menangguhkan peperiksaan kertas tersebut dan
akan diadakan pada 30 September 2014.
3. Pada 11.9.2014,
pihak LP juga telah menerima laporan bahawa Kertas Peperiksaan Bahasa
Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2, bagi Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR) 2014 yang berlangsung pada 11 September 2014 telah juga
dilaporkan bocor. LP telah menjalankan siasatan dan mendapati perkara
ini adalah benar. Kertas Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 adalah untuk
Sekolah Kebangsaan sahaja dan tidak ada kesan terhadap kertas Bahasa
Inggeris yang diduduki di SJKC dan SJKT.
4. Sehubungan
dengan ini, pihak LP memaklumkan bahawa kertas peperiksaan Bahasa
Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 bagi UPSR tahun 2014 yang
berlangsung pada 11 September 2014 adalah DIBATALKAN. Tarikh baharu bagi
peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 adalah pada
30 September 2014 bersekali dengan Science 018, 028 dan 038.
5. Pihak LP menyedari bahawa tindakan selepas keputusan di atas perlu
dilaksanakan secepat mungkin. Tarikh 30 September 2014 adalah tarikh
yang paling sesuai bagi membolehkan pihak LP melaksanakannya kerana isu
logistic (percetakan dan pengedaran) dan teknikal, termasuk keselamatan
soalan dan integriti. Proses ini melibatkan seramai 473,175 calon,
51,438 petugas, 8,299 pusat, dan 382 bilik kebal di seluruh Negara.
6. Dengan perkembangan terbaharu ini, KPM akan membuat siasatan
dalaman atas semua dakwaan kebocoran kertas peperiksaan. KPM memandang
serius insiden ini dan akan mengambil tindakan tegas untuk memastikan
perkara seperti ini tidak berlaku lagi. KPM akan bekerjasama dengan
pihak berkuasa (PDRM, SKMM) untuk mengenalpasti pihak yang
bertanggungjawab dan seterusnya membawa mereka ke muka pengadilan,
termasuk kemungkinan pendakwaan jenayah di mahkamah terhadap mereka yang
didapati bersalah. KPM berharap tindakan tegas dan semaksimum mungkin
dikenakan kepada pengkhianat tersebut.
7. KPM amat berasa
kesal dengan perbuatan tidak amanah dan tidak berintegriti yang
dilakukan oleh pengkhianat ini. Sehubungan itu, laporan polis telah
dibuat dan berharap satu siasatan dan tindakan keras dapat kita ambil
tanpa mengira siapa pun yang bertanggungjawab dalam hal kebocoran ini.
8. Selain daripada kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan
014/2 dan Science 018, 028 dan 038 sepertimana yang disebut di atas,
TIADA PEMBATALAN untuk mana-mana kertas peperiksaan UPSR yang lain
setakat ini.
9. Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan
penyebaran beritu palsu, pihak LP menyeru pihak awam untuk melayari
laman web LP www.moe.gov.my/lp
untuk maklumat rasmi dan terkini berhubung perkara ini. Pihak awam juga
boleh hubungi HOTLINE UPSR 2014 LP di talian 03-88893601 @ 3551 @ 3809 @
3520 @ 3030.
10. KPM akan menubuhkan satu Jawatankuasa
Bebas bagi meneliti semula Prosedur Operasi Standard (SOP), pengendalian
dan pengurusan peperiksaan awam. Ahli-ahlinya akan terdiri daripada
pakar pelbagai bidang antaranya teknologi maklumat, keselamatan, dan
logistic
11. Kementerian Pendidikan Malaysia ingin meminta maaf kepada mereka yang mengalami sebarang kesulitan akibat insiden ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia
12 September 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan